Bandi Amuk kini tanpa topeng, dalami ilmu agama

BANDI AMUK KINI TANPA TOPENG, DALAMI ILMU AGAMA

 

Seorang demi seorang rocker popular era 1990-an mengikut jejak langkah Amy Search, Ali Ismail (bekas vokalis XPDC), Mel (bekas penyanyi Wings), Nizam Laksamana dan ramai lagi mendalami ilmu agama.

Terbaru, Bandi Amuk mengikuti kuliah agama bersama Ali dan beberapa rakan artis.

Gambarnya tanpa topeng dan memakai kopiah menjadi viral apabila dimuat naik di Facebook milik Ali.

Bandi Amuk kini tanpa topeng, dalami ilmu agama

Bandi Amuk kini tanpa topeng, dalami ilmu agama

Bandi atau nama sebenarnya Nasabandi Jumat ketika dihubungi mengakui menyertai program Usaha Ziarah yang berlangsung di Pulau Besar, Melaka bersama beberapa rakan termasuk Ali dan Iwan dangdut.

“Saya ke sana beberapa hari untuk belajar dan memperbaiki kekurangan diri. Saya mengikuti kelas tazkirah dan belajar mengaji al-Quran.

“Pencetus Ummah Faiz banyak berkongsi ilmu berguna dengan semua yang hadir,” katanya.

Tegas Bandi, pembabitannya dalam program itu atas kehendak diri. Dia akan terbabit dalam program sama di Pulau Tioman pada 16 Oktober ini.

“Sebelum ini, saya lebih banyak kejar dunia kerana mencari rezeki untuk keluarga. Apabila menyertai program ini, saya sedar banyak yang perlu dicari dalam hidup ini.

“Saya dapat memperbaiki bacaan al-Quran dan ia sesuatu yang sangat bagus. Saya dapat banyak ilmu dan boleh berkongsi dengan orang lain untuk manfaat bersama.

“Contohnya pada malam raya baru-baru ini, saya terbabit dengan persembahan di Segamat, Johor. Saya selitkan kata-kata nasihat ketika persembahan.

“Saya akan terus menyanyi kerana itu punca pendapatan saya dan akan kekal bertopeng ketika persembahan,” katanya.

Mengulas penyebaran gambarnya tanpa topeng, Bandi tidak melihat ia sebagai satu masalah.

“Atas pentas saya adalah Bandi Amuk, tetapi selepas habis persembahan saya hanya orang biasa. Peminat pun tahu rupa sebenar saya. Gambar ini disebarkan seorang ustaz yang menetap di Madinah.

“Niatnya baik. Dia kenal saya dan mengajak saya ke sana. Insya-Allah, andai ada rezeki buat umrah dalam masa terdekat dapatlah jumpa dia di sana.

“Saya tak kisah orang nak berkongsi benda yang baik. Saya kena hormati etika berpakaian untuk program keagamaan.

“Saya juga boleh menghiburkan tetamu dalam majlis dakwah kerana mempunyai lagu sesuai seperti Aku Mahu Pulang dan Pergi Tak Kembali,” katanya.

Sumber : Metro

Loading...

Leave a Reply