Skuad Harimau Malaya ‘manja’ diratah Palestin

Skuad Harimau Malaya ‘manja’ diratah Palestin

Malaysia dimalukan di Bukit Jalil, tumbang 6-0 kepada Palestin

Malaysia dimalukan di Bukit Jalil, tumbang 6-0 kepada Palestin

BUKIT JALIL: Tidak bermaya. Itu mungkin boleh ditakrifkan permainan ditampilkan Malaysia yang dimalukan dengan kekalahan besar 6-0 kepada Palestin pada perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di Bukit Jalil, malam ini.

Hadir dengan misi mengutip tiga mata penuh di laman sendiri, sebaliknya yang terjadi apabila skuad bimbingan Dollah Salleh itu yang bagaikan ‘diajar’ Palestin bermain bola sepak dengan gawang Malaysia bocor kurang 10 minit permainan bermula.

Sekalipun Dollah melakukan lima penukaran berbanding perlawanan menentang Timor Leste, minggu lalu, ia jelas tidak memberi banyak perbezaan. Bermula dengan gol pembukaan Palestin yang dijaringkan pemain pertahanan, Musab Battat pada minit kelapan, ia tidak berhenti di situ apabila pelawat menambah dua gol berakhir babak pertama.

Gol kedua Palestin dijaringkan penyerang, Sameh Maraaba, pada minit ke-21 diikuti jaringan ketiga diledakkan seorang lagi penyerang, Tamer Seyam, empat minit sebelum babak pertama berakhir.

Tiga jaringan tanpa balas itu menyaksikan suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil yang sebelum itu dilaungi sorakan sokongan bertukar kepada hinaan. Sekalipun cuba bangkit selepas turut memperoleh beberapa peluang, ketumpulan jentera serangan dan keampuhan pertahanan Palestin menggagalkan segala-galanya.

Malah, dua cubaan yang diperoleh penyerang, Afiq Azmi , selain penyerang gantian Safee Sali pada kedua-dua babak permainan gagal dijelmakan kepada jaringan.

Babak kedua bermula dengan baik buat Malaysia apabila sedikit perubahan dapat disaksikan, namun kebangkitan yang diharapkan seakan harapan palsu. Sebaliknya, Palestin menambah jaringan menerusi pemain gantian Khader Abuhammad pada minit ke-62 dan Malaysia tambah goyah apabila Palestin menjaringkan gol kelima pada minit ke-74, yang juga gol kedua peribadi Sameh Maraaba. Palestin melengkapkan jumlah jaringan menerusi jaringan kedua peribadi Seyam pada minit ke-85.
Sumber: Berita Harian

Loading...

Leave a Reply