Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) gempar apabila ‘terserempak’ lembaga putih menyerupai pocong bergolek di tepi laluan susur keluar ke Ijok.

Lebih menyeramkan, lembaga putih yang terbaring statik di tepi jalan itu menimbulkan pelbagai reaksi negatif lebih-lebih lagi menjadi viral di laman sosial Facebook.

Namun ketakutan mereka mungkin sia-sia apabila lembaga putih itu sebenarnya batang pisang yang lengkap dengan kapur barus dan kelapa diikat dengan kain putih menyerupai pocong.

Pocong 'bergolek' di Lebuhraya Latar? Kerja Bodoh Orang Tak Bertanggungjawab Takutkan Pengguna Lebuh Raya

Pocong ‘bergolek’ di Lebuhraya Latar? Kerja Bodoh Orang Tak Bertanggungjawab Takutkan Pengguna Lebuh Raya

Pocong’ yang diletakkan di laluan susur keluar Ijok di KM2.5 itu dipercayai tindakan individu tidak bertanggungjawab yang cuba menakutkan pengguna jalan raya pada waktu malam.

Seorang pengguna, Abdul Basar Sulaiman, 38, yang turut mengetahui cerita hantu pocong batang pisang itu selepas tersebar dalam media sosial berpendapat, mungkin disebabkan laluan itu gelap menjadi kesempatan buat mereka untuk berbuat demikian.

Menurutnya, jalan di kawasan berhampiran Kampung Parit Mahang itu memang gelap, malah dulu lebih teruk apabila ada budak nakal membaling batu ke arah kenderaan yang lalu-lalang.

“Mungkin ini perbuatan remaja yang tak ada kerja, tapi bahaya juga sebab kalau kena dengan orang yang lemah semangat, bukankah mereka boleh terbabas dan mengakibatkan kemalangan?

“Nak pantau pun mereka buat kerja ini waktu malam, tak tahu apa motif mereka tapi janganlah buat lagi sebab boleh membahayakan orang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad menjelaskan, setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa laporan berkaitan kejadian terbabit.

“Perbuatan seperti itu tidak sepatutnya menjadi viral dan disebarkan dalam media sosial bagi tujuan nak takutkan orang.

“Jika benar ianya berlaku dan ada laporan polis, pihak kami akan menyiasat perkara ini,” katanya ketika mengulas lanjut mengenai isu terbabit.

Dalam pada itu, insiden terbabit sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pihak pengurusan Latar apabila mengundang masalah kepada pengguna lebuhraya itu terutamanya pada waktu malam.

Ketua Pegawai Operasi Latar, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, objek putih itu sengaja diletakkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab tanpa diketahui niat sebenar.

“Pihak Latar menentang sekeras-kerasnya perbuatan sebegini kerana ia sememangnya dianggap keterlaluan dan boleh membahayakan keselamatan pengguna lebuhraya.

“Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat bagi mengesan dan menjejaki individu yang bertanggungjawab selain membuat pemantauan bersama polis di sepanjang Lebuhraya Latar.

“Kerjasama dengan polis penting demi menjaga dan menjamin keselesaan pengguna Latar pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.