Polis tahan gangster youtube

Polis tahan gangster youtube

Azman (kiri) menunjukkan kayu digunakan untuk pukul pelajar di tepi kebun kelapa sawit, di Air Hitam, Johor, pada 14 Ogos lalu.

Azman (kiri) menunjukkan kayu digunakan untuk pukul pelajar di tepi kebun kelapa sawit, di Air Hitam, Johor, pada 14 Ogos lalu.

MUAR – Tindakan seorang pelajar sekolah di daerah ini memuat naik rakaman buli dan pukul rakan sekolahnya di laman sosial YouTube dengan sebatang kayu memakan diri apabila empat remaja ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, remaja berusia antara 14 dan 15 tahun itu ditahan di rumah mereka di beberapa kampung dekat Air Hitam.

Menurutnya, video yang berdurasi 2 minit 20 saat itu berlaku di tepi kebun kelapa sawit, di Air Hitam, dekat sini, pada 14 Ogos, kira-kira jam 5 petang.

“Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perebutan teman wanita. Seorang daripada suspek menghubungi mangsa memintanya pergi ke kawasan tersebut.

“Apabila mangsa sampai, suspek terus menolak dan kejadian pukul (mangsa) berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Beliau berkata, rakaman video itu menunjukkan seorang remaja lelaki ditendang di kepala dan badan oleh dua remaja lelaki.

Katanya, seorang daripada remaja itu kemudian memukul mangsa dengan sebatang kayu, tetapi ditepis oleh mangsa.

“Kejadian disaksikan dan dirakam rakan-rakan remaja dengan menggunakan telefon bimbit dan kini menjadi viral dalam laman sosial itu.

“Kita menerima dua laporan berhubung kejadian itu pada 25 Ogos daripada keluarga mangsa dan 27 Ogos lalu daripada orang awam  sebelum usaha menjejaki suspek dilakukan,” katanya.

Azman berkata, empat remaja, termasuk suspek utama, ditahan dan pihaknya turut merampas sebatang kayu berukuran kira-kira satu meter dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga 1 September ini dan pihaknya juga sedang mengenal pasti suspek lain yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan kayu,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian

Loading...

Leave a Reply