Petisyen saman Boeing dan MAS atas isu #MH370 ditolak mahkamah Amerika

Petisyen saman Boeing dan MAS atas isu #MH370 ditolak mahkamah Amerika

MH370: Mahkamah Amerika tolak petisyen nak saman Boeing dan MAS

Amerika Syarikat bukan sahaja menolak petisyen yang dibuat salah seorang waris penumpang MH370, bahkan mengancam akan mengenakan sekatan ke atas firma guaman yang mengambil upah berbuat demikian atas alasan ‘tidak wajar memfailkan’.

Hakim di Illinois semalam menolak permohonan firma guaman Ribbeck Law Chartered untuk mendapatkan bukti reka bentuk dan kecacatan pembuatan berkemungkinan daripada Boeing Co dan Malaysia Airlines (MAS) berkaitan kehilangan penerbangan MH370 tiga minggu lalu, lapor Reuters.

Hakim Kathy Flanagan juga mengancam mengenakan sekatan terhadap Ribbeck Law Chartered, memetik contoh sebelumnya di mana firma guaman berpusat di Chicago “tidak wajar memfailkan” petisyen, seperti nahas kapal terbang Asiana Airlines di San Francisco tahun lepas.

“Di sebalik arahan ini, firma guaman sama sekali lagi memfailkan petisyen walaupun mengetahui mereka tidak mempunyai asas untuk melakukannya,” kata Flanagan dipetik laporan agensi berita antarabangsa itu.

“Jika firma guaman ini memilih untuk meneruskannya, mahkamah akan mengenakan sekatan kepada permohonan mereka.”

Ribbeck Law minggu lalu memfailkan tindakan undang-undang pertama di Mahkamah Illinois berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum hilang pada 8 Mac lalu.

Pada 26 Mac lalu, bapa kepada salah seorang penumpang penerbangan tersebut memfailkan petisyen untuk mendapatkan bahan bukti dalam kes kemalangan tersebut.

Firma dari Chicago, Amerika Syarikat dalam satu kenyataan menyebut, petisyen untuk memperoleh bukti berkenaan difailkan ke atas Boeing Co dan Malaysia Airlines yang mengendali penerbangan itu.

Firma itu mewakili Januari Siregar, bapa saudara kepada Firman Chandra Siregar – salah seorang daripada tujuh warga Indonesia yang menaiki penerbangan tersebut.

Menurut firma tersebut, petisyen yang difailkan di Cook County, Illinoie Circuit Court itu bertujuan untuk memperoleh bukti berhubung kemungkinan kecacatan rekaan dan pembuatan yang mungkin menyumbang kepada kemalangan itu, lapor Reuters.

Peguam yang mengetuai kes tersebut, Monica Kelly dalam laporan itu menyebut, pemfailan berkenaan adalah permulaan kepada saman berjumlah berjuta dolar oleh keluarga penumpang terbabit ke atas MAS dan Boeing.

Boeing dinamakan sebagai defendan pertama manakala MAS, sebagai syarikat penerbangan dinamakan sebagai defendan kedua.

“Kami yakin kedua-dua defendan bertanggungjawab ke atas tragedi pesawat MH370,” kata Kelly.

Beliau mendedahkan, pihak yang terlibat mempunyai masa 30 hari untuk menjawab petisyen ini, di mana selepas ini firma itu akan memfailkan saman bernilai jutaan ringgit bagi pihak keluarga terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Kami jangka akan mewakili lebih 50% daripada keluarga penumpang yang berada di atas pesawat itu,” tambahnya.

“Keluarga nampanya menerima hakikat bahawa pesawat itu terhempas dan mereka sedia menerima punca sebenar mengapa ia berlaku dan tindakan ini akan memberikan mereka maklumat.

“Kami akan buktikan kegagalan mekanikal dalam rekabentuk pesawat adalah punca kapal terbang ini terhempas,” katanya.

MH370, pesawat Boeing 777-200ER, hilang daripada radar pada 8 Mac selepas terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing.

Selepas 17 hari pencarian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan berdasarkan bukti baru, pesawat MH370 itu berakhir di selatan Lautan Hindi, tenggara Perth, Australia, tanpa ada yang terselamat.

Bagaimanapun, tiada sebarang cebisan ditemui sehingga kini walaupun beberapa satelit berjaya merakam objek di kawasan dinyatakan.

Pihak berkuasa MAS turut mengumumkan bahawa kesemua 239 orang dalam penerbangan tersebut dipercayai telah meninggal dunia.

 

Sumber: Agenda Daily

 

Loading...

Leave a Reply