Umno jangan lupa dosa di Perak, kata Nik Aziz

Umno jangan lupa dosa di Perak, kata Nik Aziz

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat

 

SHAH ALAM – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencabar Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk tidak meletakkan calon mereka sekiranya menganggap pengosongan kerusi di Dun Kajang itu sebagai satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses demokrasi.

Menurutnya yang juga bekas Menteri Besar Kelantan itu, beliau sendiri muak  dengan akhbar-akhbar pro Umno yang memainkan isu kononnya langkah mengosongkan kerusi itu ialah langkah memanipulasi demokrasi padahal Umno sendiri lupa, bahawa  langkah mereka di Perak pada tahun 2009 itulah langkah yang lebih teruk.

“Adakah mereka lupa pasal Perak pada tahun 2009… iaitu membelakangkan terus demokrasi dan merampas kerajaan melalui pintu belakang. Umno jangan berlagak baik sedangkan dosa-dosa mereka di Perak masih segar dalam ingatan.

“…oleh itu saya suka mencabar Umno dan BN, jika mereka berpandangan pengosongan kerusi di Dun Kajang itu satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses demokrasi, jangan sekali-kali mereka meletakkan calon di dalam pilihan raya kecil itu nanti,” katanya memetik kenyataan terbaru di entri Facebooknya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan pendirian Pas dalam hal itu (peletakan jawatan Lee Chin Cheh) adalah lebih wajar diputuskan sendiri oleh Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang.

“Ramai yang menghubungi saya untuk bertanyakan pandangan tentang isu Dun Kajang yang dikosongkan oleh wakil rakyatnya.

“…saya tidak tahu menahu tentang strategi atau isu yang berlaku sehingga membawa kepada pengosongan tersebut.

“…justeru, saya perlu menunggu penjelasan dari pihak PKR sendiri yang tentunya mempunyai sebab-sebab tertentu sehingga langkah ini terpaksa dilakukan.

“…dalam hal ini, sikap Pas tentunya lebih wajar diputuskan oleh Tuan Guru Presiden Pas selaku kuasa eksekutif di dalam parti berdasarkan pertimbangan-pertimbangan semasa,” katanya.

Kelmarin, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan peletakan jawatan Lee Chin Cheh.

Berikutan kekosongan kerusi itu, mesyuarat pimpinan PR memutuskan untuk meletakkan Anwar sebagai calon yang akan mewakili gabungan parti itu, sementara Umno-BN belum mengumumkan calon mereka bagi mencabar Anwar di Dun tersebut.

Sumber: wargamarhaen

Loading...

Leave a Reply