Kanak-kanak Perempuan 2 Tahun Dibunuh Kejam Di Terengganu

Kanak-kanak Perempuan 2 Tahun Dibunuh Kejam Di Terengganu

 

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah rumah kosong di Taman Perumahan Permint Seberang Paka, di sini hari ini.

Mayat kanak-kanak separuh bogel itu ditemui seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan perumahan itu kira-kira 3.30 petang ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata ketika tiba di kawasan itu, pengawal keselamatan berusia 31 tahun itu terlihat pintu utama rumah berkenaan terbuka dan terhidu bau busuk.

Katanya curiga dengan bau itu, dia bertindak masuk ke dalam rumah berkenaan dan menemui mayat kanak-kanak itu di dalam bilik air rumah tersebut.

“Ketika ditemui, mayat dalam keadaan terbaring di lantai bilik air manakala masih terlekat kesan darah dan pakaian yang dipakai terangkat ke bahagian atas. Kita masih mengesan identiti mayat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya mangsa dipercayai sudah mati lebih dari 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang telah kembung dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat. – Bernama

Sumber : Sinar

Loading...

Leave a Reply