‘Wujud pakat naik harga ais, alat tulis’

 

‘Wujud pakat naik harga ais, alat tulis’

 

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat dakwaan kemungkinan wujud unsur pakatan dalam kenaikan harga ais dan alat tulis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shila Dorai Raj, berkata jika kenaikan harga adalah hasil perjanjian untuk menetapkan harga oleh mana-mana persatuan atau kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar, perlakuan itu melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Seksyen itu memperuntukkan larangan kepada perusahaan termasuk persatuan daripada menetapkan secara langsung atau tidak langsung suatu harga belian atau jualan atau apa-apa syarat perdagangan lain untuk barang dan perkhidmatan. 

Penalti 10 peratus

Katanya, tindakan mana-mana persatuan atau kumpulan yang berpakat untuk menaikkan harga adalah salah laku yang serius dan penalti maksimum sebanyak 10 peratus boleh dikenakan jika didapati melanggar akta itu.

“Kenaikan harga bukanlah suatu perlakuan antipersaingan tetapi jika perusahaan ingin menaikkan harga oleh kerana faktor kos yang semakin meningkat, ia patut dilakukan secara bebas serta tidak terikat kepada apa-apa perjanjian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek sebelum ini meminta MyCC untuk meneliti kemungkinan berlaku tingkah laku kartel (pakatan) oleh Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia.

Ais naik 50 sen

Tindakan MyCC itu juga diambil berikutan pengumuman pengeluar ais untuk menaikkan 50 sen setiap beg bagi ais tiub dan RM2.50 setiap blok ais. Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia pula mengumumkan akan menaikkan harga alat tulis pada suku pertama tahun ini. 

Akta Persaingan 2010 diguna pakai terhadap semua aktiviti komersial yang ditanggung dalam dan luar negara yang boleh menjejaskan persaingan di pasaran Malaysia. Akta itu memberi satu rangka kerja kawal termasuk kuasa menyiasat, menghakimi dan mengenalkan penalti kepada pesalah.

Shila berkata, MyCC memberi mesej tegas kepada persatuan beberapa bulan lalu untuk menghentikan perlakuan pakatan sulit mahupun penetapan harga, tetapi tingkah laku persatuan yang semakin berleluasa baru-baru ini menyebabkan MyCC tiada pilihan selain mengambil langkah untuk menghentikan tingkah laku sedemikian.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana persatuan dan perusahaan perniagaan yang membabitkan diri dalam amalan penetapan harga atau berkelakuan seperti kartel boleh menghubungi MyCC di talian 03-22732277 atau e-mel complaints@mycc.gov.my

Sumber : Bharian

Loading...

Leave a Reply