Kerajaan kaji cadangan tidak benarkan motosikal ‘kapcai’ berada di lebuh raya – Terbakor

Kerajaan kaji cadangan tidak benarkan motosikal ‘kapcai’ berada di lebuh raya 

 

Motosikal kapasiti enjin (CC) rendah berkemungkinan tidak dibenarkan berada di lebuh raya bagi melindungi pengguna kenderaan itu daripada risiko kemalangan jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof berkata, kementeriannya telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji permasalahan itu memandangkan bukan semua lebuh raya menyediakan lorong khas motosikal.

Katanya, berbanding motosikal berkuasa tinggi, pengguna motosikal kecil terdedah kepada risiko kemalangan kerana angin daripada kenderaan lain yang laju boleh mengakibatkan motosikal itu berada dalam keadaan tidak seimbang.

Kerajaan kaji cadangan tidak benarkan motosikal 'kapcai' berada di lebuh raya - Terbakor

“Kita sedang melihat bagaimana kita dapat menangani permasalahan ini, sama ada motosikal dibenarkan di lebuh raya, sama ada dikenakan tol, kategori mana yang dikenakan tol ataupun tiada tol untuk mereka, ini akan diperincikan,” katanya sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang bertanyakan mengenai lorong khas motosikal di lebuh raya untuk mengelakkan motosikal menggunakan laluan kereta dan kenderaan lain.

Menurut Fadilah, buat ketika ini, hanya Lebuh Raya Persekutuan menyediakan lorong khas motosikal dan pembinaan lorong itu di semua lebuh raya memerlukan kos tambahan melibatkan RM2 juta untuk setiap satu kilometer.

Sementara itu, menjawab soalan asal Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang bertanyakan sebab motosikal berkuasa tinggi tidak perlu membayar tol walaupun mempunyai CC besar setaraf kereta, Fadilah memberitahu, pengenaan tol di lebuh raya hanya ditentukan berasaskan kelas atau jenis kenderaan.

“Sehubungan itu, motosikal berkuasa tinggi tidak dikenakan kutipan tol kerana ia termasuk di bawah kategori kenderaan dua gandar atau dua roda yang dikecualikan daripada kutipan tol.

“Ini termaktub dalam hampir semua perjanjian konsesi lebuh raya kecuali di Lebuhraya Linkedua Malaysia-Singapura untuk Plaza Tol Tanjung Kupang dan di Jambatan Pulau Pinang di mana motosikal turut dikenakan tol,” katanya.

Utusan

Loading...

Latest Comments

  1. OH Ping Blog November 14, 2013

Leave a Reply