Ibu Tunggal Empat Anak Diugut Tarik Semula Bantuan – Terbakor

 

Ibu Tunggal Empat Anak Diugut Tarik Semula Bantuan 

 

“Bila kisah mak cik keluar di Sinar Harian, ramai yang datang hulur sumbangan, tapi ada juga yang datang marah mak cik, mereka ugut nak tarik semua bantuan sebab dia kata mak cik cerita tak betul dalam surat khabar.”

Demikian luah Kembang Mohamad, 52, ibu tunggal empat anak yang hidup dalam kesempitan di rumah peninggalan bekas suaminya, dekat sini.

Ibu Tunggal Empat Anak Diugut Tarik Semula Bantuan - Terbakor

Kisah sedih Kembang bersama dua anaknya, Intan Shafiqah, 11, dan Intan Shahirah, 13, disiarkan akhbar ini 5 November lalu.

Rentetan daripada itu, pelbagai pihak tampil membantu, namun tidak kurang yang ‘panas punggung’ apabila sanggup memarahi Kembang kerana mendakwa ibu tunggal itu menyembunyikan fakta sebenar dan mendedahkan cerita kesusahannya kepada media sehingga menjejaskan reputasi pihak terbabit.

Kesal dituduh berbohong

Kembang berkata, dia tidak menuduh sesiapa dan menafikan bantuan diterima, cuma apa yang diluahkan hanyalah situasi sebenar yang dihadapi bersama dua anak perempuannya.

Katanya, memang dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan, namun wang itu tidak cukup dan bantuan lain seperti wang dana hari raya pula hanya diterima setahun sekali.

“Dua-dua anak mak cik dapat bantuan pakaian sekolah RM200 setahun setiap seorang, tapi bantuan itu mak cik guna beli pakaian sekolah pada awal musim persekolahan dan untuk belanja anak ke sekolah, mak cik hanya bergantung wang bulanan JKM,” katanya.

Kembang berkata, memandangkan dia tidak mempunyai pendapatan lain, wang JKM itu juga terpaksa diagihkan untuk membeli keperluan harian seperti beras dan sebagainya.

Menurutnya, walaupun anak perempuannya yang lain sudah berkahwin, mereka juga tidak dapat membantu kerana turut tidak berkemampuan.

“Dua anak mak cik yang masih bersekolah ini tidak berbohong, memang kadangkala mereka tak bawa duit ke sekolah sebab mak cik tak ada duit.

“Takkanlah cerita perkara sebenar pun jadi satu kesalahan. Kenapa sampai begini orang marah mak cik, mungkin mereka tidak memahami dan merasai keperitan mak cik, kalau tak percaya datanglah sendiri tengok keadaan kami,” katanya.

Maidam beri perhatian

Bagaimanapun kisah Kembang mendapat perhatian pihak berwajib apabila Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat  Melayu Terengganu (Maidam) melalui Pegawai Eksekutif Cawangan Dungun, Mohd Amizan Abd Rahman mengadakan lawatan ke rumah ibu tunggal itu yang terletak berhampiran Sungai Dungun.

Amizan berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa Kembang sudah mendapat bantuan Maidam tidak tepat dan hasil semakan rekod di pejabatnya, ibu tunggal itu hanya mendapat wang zakat yang diagihkan Maidam setahun sekali.

Menurutnya, sehingga 4 November lalu, tiada sebarang permohonan dibuat oleh mana-mana pihak mewakili Kembang untuk mendapatkan bantuan sara hidup bulanan daripada pihak Maidam seperti didakwa segelintir individu.

“Jika Kembang tidak menyiarkan kisahnya dalam Sinar Harian, Maidam mungkin tidak mendapat sebarang maklumat mengenai kesusahan ibu tunggal ini.

“Selepas meneliti, pihak kami akan berusaha menyalurkan bantuan segera berupa wang tunai antara RM2,000 hingga RM2,500 bagi meringankan sedikit beban Kembang, terutama untuk persediaan menghadapi musim tengkujuh dan persekolahan anak-anaknya hujung tahun nanti,” katanya.

Amizan berkata, jika Kembang masih gagal mendapat bantuan bulanan tambahan daripada JKM, pihak Maidam akan mempertimbangkan untuk menyalurkan bantuan tambahan wang sara hidup berjumlah RM450 sebulan kepada wanita itu.

Bagi bantuan rumah pula beliau berkata, Maidam tiada halangan menyalurkan peruntukan bagi membina kediaman untuk warga miskin seperti Kembang, cuma pihaknya memerlukan kebenaran tuan tanah untuk membina rumah tersebut atau jika pemohon memiliki tanah sendiri,  prosesnya lebih mudah dan cepat.

Selain Maidam, Pejabat Kesihatan Dungun turut mengadakan lawatan ke rumah Kembang dan difahamkan mereka berusaha menyalurkan subsidi bekalan air bersih dan kemudahan tandas di rumah Kembang.

Pemuda Umno sedia bantu

Ketua Pemuda Umno Bahagian Dungun, Mohd Asri Mohamad berkata, beliau mewakili sayap parti bersedia menanggung perbelanjaan bagi menyediakan keperluan persekolahan anak Kembang sebelum sesi persekolahan 2014 bermula.

“Pemuda Umno bahagian sedia menanggung mana-mana keperluan sekolah mereka yang tidak cukup, terutama peralatan sekolah.

“Dengan bantuan ini, kita harap dua beradik ini dapat menumpukan perhatian pada pelajaran mereka,” katanya.

Sinar

Loading...

Leave a Reply