Tan Sri Annuar Musa: Umno Kelantan patut malu dengan Husam Musa

Tan Sri Annuar Musa: Umno Kelantan patut malu dengan Husam Musa

 

SHAH ALAM – Berbeza pandangan mengenai isu Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang mengkritik Kerajaan Negeri Kelantan, Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa menyatakan Umno di negeri itu perlu malu dengan tindakan berani pemimpin itu.

Menurutnya, isu pentadbiran negeri tersebut seharusnya Umno yang perlu memainkan peranan sebagai pembangkang.

“Umno patut malulah sebab sepatutnhya Umno yang bangkang.

“Ini Husam pula yang tolong bangkang. Patut orang Umno kena malulah,” katanya kepada Sinar Harian Online, dalam satu wawancara khas baru-baru ini.

Tambahnya, Umno tidak boleh menganggap tindakan Husam tersebut membantu parti untuk menang dengan mudah.

“Sebab orang tengok, Pas dia sendiri tolong betulkan diri dia sendiri.

“Kita pula tengok, oh sebab Husam tolong bangkang, maka kita akan menang dengan mudah. Tidak macam itu politik ini,” ujarnya.

Dalam sidang Dun Kelantan 8 Oktober lalu, Husam yang juga Adun Salor kerajaan negeri menarik perhatian ramai apabila mendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang daripada konsep ketelusan.

Antara yang disentuh adalah permohonan aktiviti pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang oleh sebuah syarikat melalui proses runding terus dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.

Bagaimanapun, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu turut memuji tindakan Husam yang dikatakan mencuba untuk menyedarkan kerajaan negeri itu dari terus melakukan kesalahan.

“Tapi baguslah Husam sudah tunjuk contoh. Kalau Husam tolong membangkang Pas, maka Pas akan terselamat kerana Husam.

“Jadi, apa yang Husam buat membantu kerajaan Pas, menyedarkan kerajaan Pas.

“Tapi kalau Umno terus lena…oh tak mengapalah Husam tolong buat kerja, Husam buat kerja bukan nak tolong matikan Pas tetapi dia buat nak selamatkan parti dia.

Jadi kena sedarlah, wakil-wakil rakyat yang berjuang dalam Dun dan pemimpin-pemimpin tempatan,” katanya.

 

 

Sumber: Sinar Harian

Loading...

Leave a Reply