Awas, Hotel Dan Restoran Tiada Sijil Halal Bakal Diserbu Jakim! – Terbakor

 

Awas, Hotel Dan Restoran Tiada Sijil Halal Bakal Diserbu Jakim! 

 

Ketibaan bulan Ramadan bukan waktu rehat buat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) apabila agensi berkenaan tetap meneruskan pemantauan berkala sepanjang bulan mulia ini terutama bagi mengesan premis makanan termasuk restoran dan hotel yang menawarkan bufet Ramadan tanpa perakuan sijil halal sah.

Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM Hakimah Mohd Yusoff berkata, pegawai dan kakitangan JAKIM yang terbabit kini sedang giat menjalankan pemantauan di beberapa lokasi utama di Lembah Klang bagi mengesan pengusaha restoran dan hotel yang mengingkari arahan itu.

 

 

Beliau berkata, pemantauan itu penting bagi memastikan pengguna tidak tertipu dengan helah pengusaha hotel dan restoran yang ingin mencari keuntungan cepat dengan menawarkan bufet Ramadan tanpa perakuan sijil halal yang sah.

“Buat masa ini, pemantauan dilakukan JAKIM membabitkan kawasan di Lembah Klang saja manakala operasi di peringkat negeri pula dilakukan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing.

“Sehingga hari ini (semalam), kami belum menerima sebarang aduan mengenainya, namun berharap supaya pengguna dapat memberi kerjasama penuh untuk membantu kami mengesan aktiviti tidak bertanggungjawab itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Hakimah berkata, pihaknya juga akan membuat pemeriksaan mengejut ke atas premis yang disyaki sejurus menerima aduan daripada orang awam.

 

Beliau berkata, pemantauan serta pemeriksaan turut dilakukan terhadap bahan promosi dan pengiklanan termasuk risalah, papan iklan dan bunting bufet Ramadan yang dipamerkan bagi memastikan kesahihan bufet yang ditawarkan.

Justeru, beliau menyeru supaya penguna lebih bijak memilih lokasi berbuka puasa terutama rangkaian hotel dan restoran yang menawarkan bufet Ramadan yang mendapat perakuan sijil halal sah dari JAKIM dan JAIN.

 

“Pengguna boleh menyemak terlebih dahulu hotel yang memiliki persijilan halal atau tidak menerusi laman web JAKIM iaitu http://www.halal.gov.my bagi mendapatkan kepastian sebelum membuat pilihan untuk berbuka puasa,” katanya.

 

Hmetro

 

Leave a Reply