8,245 pusat pengundian dibuka serentak, proses undi PRU13 bermula – Terbakor

 

8,245 pusat pengundian dibuka serentak, proses undi PRU13 bermula 

 

Pusat-pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dibuka serentak di seluruh negara pada pukul 8 pagi ini.

Sebanyak 8,245 pusat pengundian dibuka di seluruh negara melibatkan 25,337 saluran tempat mengundi, dengan 80 peratus daripadanya membabitkan bangunan sekolah, dewan serbaguna dan balai raya.

 

p/s : Hanya lima tahun sekali..

8,245 pusat pengundian dibuka serentak, proses undi PRU13 bermula - Terbakor

Daripada 13,268,002 pengundi berdaftar yang layak mengundi, hanya 12,992,661 akan mengundi hari ini setelah 272,387 pengundi awal terdiri daripada pasukan tentera dan polis serta pasangan mereka telah mengundi awal pada 30 April lepas.

Jumlah 272,387 itu termasuk 36,561 anggota keselamatan dan pasangan mereka yang mengundi secara pos.

Daripada 8,756 pengundi luar negara yang berdaftar, 6,092 telah melaksanakan tanggungjawab, manakala selebihnya adalah pengundi tidak hadir dengan Australia mencatat jumlah pengundi Malaysia di luar negara paling ramai mengundi dengan 2,000 pengundi.

Undi awal dilaksanakan buat pertama kali pada PRU13 berikutan pindaan kepada Peraturan 27A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Proses bagi menentukan peneraju kepimpinan negara untuk lima tahun akan datang itu membabitkan pemilihan wakil rakyat bagi 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) kecuali Sarawak yang hanya terlibat dalam pengundian untuk kerusi Parlimen.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengundi di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Pekan, Pahang manakala Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan mengundi di Sekolah Menengah Sri Muar, Muar, Johor.

Seramai 240,000 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlibat bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya kali ini, peningkatan ketara berbanding kira-kira 180,000 petugas SPR pada pilihan raya umum 2008.

Menurut SPR pertambahan petugas itu disebabkan beberapa faktor seperti jumlah pengundi yang bertambah saban tahun.

Pada pilihan raya umum 2008, BN yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi memenangi 140 kerusi Parlimen, manakala gabungan PKR-DAP-PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Bagaimanapun Perak kembali ke pangkuan BN selepas tiga anggota Dun daripada gabungan itu bertindak meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi Adun Bebas yang menyokong BN.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menggerakkan 112,000 anggota di setiap cawangan untuk mengawal keadaan dan menasihatkan pengundi supaya tidak bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab kerana polis telah mengambil semua langkah bagi memastikan proses pengundian berlangsung selamat, terkawal dan lancar.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjangkakan keputusan pertama PRU13 boleh diketahui seawal-awalnya 7.30 malam ini. – Bernama

 

-Sinar-

Loading...

Leave a Reply