Fatwa pelawak lelaki berpakaian wanita akan digubal – Terbakor

 

 Fatwa pelawak lelaki berpakaian wanita akan digubal 

 

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan (Majlis Fatwa) akan bersidang bulan depan mengenai penampilan watak lelaki berpakaian wanita, lelaki lembut dan tomboi. Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Datuk Mohamed Juhari Shaarani, berkata pihaknya akan menerima apa saja keputusan dan menggangap ianya tidak akan menggugat aktiviti seni pelawak.

Fatwa pelawak berpakaian wanita

 Fatwa pelawak lelaki berpakaian wanita akan digubal - Terbakor

Pelawak berpakaian wanita

“Jika fatwa melarang watak lelaki menyerupai wanita dipentaskan, IB akan akur. Memang IB sendiri tidak pernah menggalakkan watak lelaki lembut ditonjolkan dalam pementasan kami, melainkan sesetengah babak yang bertujuan menggambarkan dunia sebenar Lorong Haji Taib. 

“Kami tidak akan sesekali menentang tindakan Majlis Fatwa sekiranya sudah jelas ia satu kesalahan. 

Lagi pun, saya percaya lawak boleh ditonjolkan dengan pelbagai cara. Tidak semestinya dengan hanya menonjolkan watak lelaki berpakaian wanita, barulah penonton akan ketawa. 

“Contohnya, watak kanak-kanak lakonan kumpulan Boboi juga berjaya membuatkan penonton ketawa. Jadi, tidak semestinya apabila watak lelaki lembut atau menyerupai wanita diharamkan, ia akan menyekat kreativiti pelawak,” katanya kepada HIP, semalam. 
Juhari juga yakin, keputusan Majlis Fatwa itu nanti tidak akan menyumbang kepada kemerosotan industri lawak tanah air. 

Katanya, sitkom 2+1 lakonan Imuda yang membawakan watak lelaki lembut sebelum ini pernah dipertikaikan, tetapi ia masih berjaya muncul program diminati ramai, kira-kira dua dekad lalu. 

Sementara itu, Harun Salim Bachik yang juga anggota kumpulan Boboi berkata, mereka tidak berniat mempengaruhi penonton apabila membawakan watak sedemikian. 

Malah, watak menyerupai wanita tidak dibawa sekadar suka-suka, sebaliknya masih diselitkan mesej serta dilakukan bagi memenuhi kehendak naskhah. 

“Saya tidak begitu mahir soal hukum-hakam agama, tetapi apa yang saya lakukan sekadar lakonan. 

Ia tidak bersangkut-paut sama ada saya setuju dengan watak itu atau sebaliknya. 

“Sebagai pelakon, kami melakonkan sesuatu demi kehendak naskhah dan untuk menghiburkan penonton. Tetapi kami tidak berniat mempengaruhi penonton supaya menjadi seperti watak yang kami bawakan. 

“Saya hanya bawa watak perempuan ketika bekerja. Di luar, saya masih lagi lelaki sejati. Bagi saya, tidak semestinya dengan menonton lakonan kami, khalayak akan terpengaruh. Banyak faktor lain sebenarnya yang boleh mempengaruhi generasi muda kita hari ini,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian 


Loading...

Leave a Reply