KBS tidak adil terhadap atlet OKU : Kay Kim
Pengkritik sukan tanah air, Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata atlet Paralimpik sebenarnya lebih layak dan berhak untuk diberi ganjaran serta pencen berbanding atlet normal. Beliau mengulas isu ketetapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang tidak akan memberi ganjaran skim imbuhan tetap atau pencen kepada pemenang pingat perak Sukan Paralimpik, Hasihin Sanawi seperti dinikmati atlet normal pada temasya Olimpik.
Atlet Paralimpik tidak akan diberikan pencen

KBS tidak adil kepada atlet Paralimpik
“MEREKA (atlet Paralimpik) sebenarnya lebih layak dan berhak untuk diberi ganjaran serta pencen berbanding atlet normal.”
Demikian pandangan pengkritik sukan tanah air, Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ketika diminta mengulas ketetapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang tidak akan memberi ganjaran skim imbuhan tetap atau pencen kepada pemenang pingat perak Sukan Paralimpik, Hasihin Sanawi seperti dinikmati atlet normal pada temasya Olimpik.
Pelik dengan situasi itu, Kay Kim menganggap keputusan itu tidak adil untuk atlet Orang Kurang Upaya (OKU) yang pada pandangannya terpaksa melalui halangan lebih sukar berbanding atlet normal dalam usaha mereka memenangi pingat.
“Sudah sampai masanya kita mengiktiraf atlet paralimpik yang berjaya setanding dengan atlet normal kerana mereka juga sudah menjadi penyumbang penting untuk mengharumkan nama negara.
“Bagi saya, usaha mereka memenangi pingat lebih sukar berbanding atlet biasa dan seharusnya mereka dilayan lebih adil, sama seperti atlet normal,” katanya.
Justeru, beliau berharap pihak kerajaan, terutama menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti semula soal pencen itu berbanding hanya mengutamakan atlet normal yang pada pandangannya masih mampu menjana pendapatan selepas bersara dari dunia sukan.
“Mereka (atlet paralimpik) mesti diberi jaminan andai terbabit dengan apa-apa jenis sukan. Golongan ini yang sepatutnya diberikan pelbagai pengiktirafan, termasuk pencen,” katanya.
Namun, Kay Kim juga pada masa sama tidak menolak sumbangan besar kerajaan yang sudah memberi banyak ganjaran kepada atlet negara berbanding ketika era sebelum kemerdekaan.
“Dulu skuad badminton memenangi pertandingan pada saingan antarabangsa tapi tidak mendapat sebarang ganjaran berbanding atlet masa kini,” katanya.
Antara atlet normal yang mendapat pencen di bawah Skim Imbuhan Tetap Sukan Olimpik ialah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei serta ratu terjun, Pandelela Rinong selepas masing-masing meraih pingat perak dan gangsa pada pentas Olimpik.
Di bawah skim itu, atlet yang memenangi pingat di Sukan Olimpik akan menerima RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 gangsa yang akan diberikan setiap bulan untuk tempoh sepanjang hayat mereka.
Hasihin mencipta sejarah apabila merangkul perak menerusi acara recurve individu lelaki berkerusi roda W1/W2 di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, Isnin lalu sekali gus menyumbang perak pertama selepas 20 tahun.
Pada masa ini, ganjaran yang hampir pasti menantinya adalah RM200,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) tapi Ahmad Shabery menegaskan, atlet itu bakal menerima ganjaran lain selepas ini.
Sumber : Harian Metro

