12 tahanan ISA dibebaskan semalam
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri mengumumkan pembebasan 12 tahanan ISA (Akta Dalam Negeri) dari Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak semalam. Pembebasan itu dibuat selepas kerajaan berpuas hati dan yakin mereka semua bukan lagi ancaman kepada negara.
Tahanan ISA

Tahanan ISA dibebaskan 17 Ogos 2012
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) mengumumkan pembebasan 12 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak semalam.
Beliau berkata, 12 tahanan itu merupakan kumpulan kedua dibebaskan pada bulan ini selepas kumpulan pertama seramai tiga orang tahanan dibebaskan pada 3 Ogos lepas.
“Pembebasan 12 individu itu dibuat selepas kerajaan berpuas hati dan yakin kesemua mereka bukan lagi ancaman kepada keselamatan negara,” katanya selepas meluangkan masa lebih satu jam melawat banduan di Penjara Sungai Buloh serta menunaikan solat Jumaat bersama mereka di sini.
Pada 3 Ogos lalu, kerajaan telah membebaskan tiga individu iaitu seorang warga tempatan dan dua warga asing, masing-masing warganegara Pakistan dan Sri Lanka.
Hishammuddin berkata, 12 individu yang dibebaskan semalam terdiri daripada lapan orang yang terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan manusia manakala empat lagi terlibat dengan kegiatan berunsur keganasan.
“Mereka terdiri daripada tujuh warga tempatan, tiga warga Indonesia dan dua warga Pakistan. Tahanan itu dibebaskan kerana kerajaan berpendapat mereka telah melalui proses pemulihan yang secukupnya dan telah sedar dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Katanya, mereka yang dibebaskan itu pernah terbabit dalam beberapa kes jenayah seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia serta memiliki cop palsu bagi kebenaran keluar dan masuk negara milik Jabatan Imigresen.
Sumber : Kosmo

